Cerpen: Koyak


               Malu!

            Dia malu. Malu sungguh dia rasakan. Mahu tak malu. Apabila kawan-kawan sekelasnya memakai uniform baju kurung sekolah yang elok, yang tidak besar gedoboh (maknya selalu beritahu yang uniform baju kurung, tudung sekolah, kain biru sekolah kena beli saiz besar, kalau boleh dua atau tiga kali ganda daripada saiz sebenar, nanti boleh dipakai sampai tingkatan lima dan dia baru di tingkatan tiga sekarang ini) dan baru, dia seorang saja yang pakai baju lama, dan kini koyak pula uniform baju kurung sekolahnya itu – di kedua-dua belah bahagian bahu uniform baju kurung putihnya itu. Alahai, malunya dia rasa! Mana tak malu – warna uniform baju kurung sekolah dan kain yang digunakan untuk mencantum bahagian yang koyak itu berbeza benar warnanya. Warna uniform baju kurung sekolahnya sudah agak kekuningan manakala kain yang digunakan untuk mencantum bahagian yang koyak itu pula berwarna putih sekali . Kontra sangat bapak! Lagi pula, nyata kelihatan bekas jahitan setelah dijahit dan ditampal dengan kain putih lain oleh bapak. Tapi, nasiblah bapak pandai menjahit. Kalau tidak keluar lagilah duit orang tua itu. Mana nak tanggung dia dan kakak-kakak yang masih belajar lagi. Berapalah sangat wang pencen yang diterima bapak setiap tanggal 21 haribulan itu. 

              Itulah.

            Pangkat bapak tidak tinggi sebelum bersara dulu. Pastinya bapak tidak memahat kata-kata keramat pekerja gomen – “Saya yang menurut perintah” – di hati bapak. Tahukah bapak tidak mengatakan “Saya yang menurut perintah” pada setiap arahan orang yang duduk nun di atas itu ialah harakiri, kamikaze, dan aksi bunuh diri untuk pekerja gomen – ikan bilis seperti bapak? Bapak tahu atau pura-pura tidak tahu? Pernah sekali bapak tidak menurut perintah orang atasan lantas bapak dibekukan untuk sebarang kenaikan pangkat bertahun-tahun lamanya. Itulah. Lagilah bapak tidak terima wang kopi, wang bawah meja, wang dalam sampul – ah! macam-macam lagilah orang panggil nama enak-enak, wangi-wangi untuk wang haram itu. Kalau benda busuk disembur minyak wangi manakan tidak wangi. Nah! Sekarang dia kena pakai baju berjahit di bahu. Oh! Malu sungguh. Tuhan saja tahu betapa malunya dia rasakan. Dia ada juga cuba-cuba untuk menutup dengan tudung putih sekolah (besar juga, boleh pakai sampai tingkatan lima kata emak lagi) tapi kelihatan juga kadang-kadang kalau dia terlupa nak kawal tudungnya daripada bergerak-gerak. Aduhai! Malu sungguh!
          
              Itulah.

            Bapak patut terima saja wang yang lelaki Cina berbadan besar itu beri dalam sampul surat warna coklat ketika datang ke rumah di kuarters pekerja kerajaan itu dulu-dulu. Ketika itu bapak baru ada tiga orang anak sahaja. Bapak patut terima wang itu. Bapak tidak lihatkah rumah-rumah teman sejawatan dengannya? Atau kereta, motor dan barang yang dimiliki pegawai-pegawai bawahannya itu? Besar-besar lagi. Lamannya luas, ruang tamunya luas, pasu bunganya juga besar-besar belaka dan keretanya yang dua, tiga buah itu – aduh! hebat sungguh, menjalar keretanya itu. Bukan macam bapak. Motorsikal second-hand, van second-hand, kereta second-hand – tidak ada penghawa dingin pula itu. Kalau hari panas, semua dalam van Datsun itu menjejer keluar peluhnya. Tingkap sudah dibuka seluas-luasnya. Tapi bahangnya Tuhan saja tahu! Aduh! Kadang-kadang boleh buat semua yang berada dalam van Datsun itu jadi ikan kering masin saja. Sungguhlah bapak patut terima saja kalau orang sudah beri duit itu dulu. Sudah pasti van baru atau kereta baru yang masih berbau kedai itu dapat dibeli dan akan tersadai dengan gahnya di depan rumah. Tidak perlulah menderita sebegini bapak!

             Bapak, bapak!

            Ini lihatlah apa jadi sekarang. Bapak sahaja yang selepas pencen tidak diziarahi teman-teman sekerja, tidak besarkan dapur, tidak beli rumah banglo, tidak beli kereta baru dan ah! banyak lagi yang baru yang bapak boleh miliki kalau bapak ambil wang dalam sampul warna coklat itu dulu. Bukankah ada peribahasa Melayu yang berbunyi seperti ini, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kalau bapak terima berkali-kali duit dalam sampul warna coklat itu pasti bapak sudah senang sekarang. Kalaulah bapak terima wang dalam sampul surat warna coklat itu. Tapi itulah. Bapak tidak terima pun sampul surat warna coklat yang berisi wang itu. Kenapa ya, bapak? Sampul surat warna coklat berisi wang itu tidak cukup menggoda bapakkah? 

              Itulah.

            Sekarang ini sembilan beranak (anak-anak bapak sudah bertambah lagi empat orang) kena duduk berkongsi dalam rumah teres tiga bilik. Itupun nasib jugalah kakak-kakak dan abang-abang belajar luar Johor. Kalau tidak, bayangkan sajalah – semua sudah besar dan tinggi-tinggi. Mahunya tidak sempit dan sesak rumah itu jadinya. Dan ada masanya (selalunya) rumah teres yang memuatkan sembilan orang itu meriah sekali dengan jeritan dan suara kami bertujuh bertekak dan bergaduh. Ada sahaja yang tidak kena di hati masing-masing. Kenapa agaknya? Kesempitan wang dan kemiskinan boleh buat jiwa kita kacaukah, bapak?

             Bapak!

            Lihatlah ini, uniform baju kurung sekolah di bahu ini koyaklah, bapak! Mana ada yang mahu jadi kawan pada orang miskin di sekolah orang anak ada-ada ini? Sungguhlah, bapak! Bapak mana tahu. Tapi, biarlah kisah anaknya ini tidak punya kawan-kawan bapak terus-terusan tidak tahu. Biarlah. Apa orang peduli. Susah kita mereka mana tahu. Bukan begitu, bapak? Apa yang ada pada kawan. Bapak yang beri makan minum. Bapak yang ajar mengaji. Bapak yang beri pakaian. Bapak yang beri bumbung tempat berteduh. Bapak yang beri tilam tempat berehat. Bapak yang bagi wang saku. Bapak yang beri tujuh orang anaknya sekolah sampai sekolah menengah, sampai institut, sampai universiti lagi. Bapak yang hantar pergi balik sekolah – panas terik, hujan kilat guruh bapak redah. Bapak yang kerja siang malam berpuluh-puluh tahun untuk keluarga. Bapak yang… ah! banyak lagilah yang bapak buat. Bapak yang jadi bapak. 

              Biarlah.

            Biarlah bapak tidak tahu betapa malunya anak ini pakai uniform baju kurung sekolah yang koyak dan bertampal di bahagian bahu ini. Biarlah. Apalah sangat uniform baju kurung sekolah yang koyak ini. Bapak sudah lama berkhidmat – untuk kerajaan dan keluarga. Jadi, bapak – malu saya ini biar saya simpan rapat-rapat – jauh-jauh dalam hati di lubuk hati paling jauh, malu saya ini biar saya simpan supaya jadi pengajaran, malu saya ini biar saya simpan jadi kenangan dan malu ini biar saya ingat sampai bila-bila. Kawan-kawan akan datang dan pergi. Mereka – kawan-kawan – tidak bangun dan jatuh bersama. Bapak yang merangkak, bangun, jatuh dan bangun  semula bersama saya. Berulang-ulang kali. Jadi, bapak tidak perlu tahu hal-hal kecil, hal-hal remeh ini. Bapak sudah lama disini untuk kami. Bapak sudah banyak berkorban. Terlalu lama, bapak.

              Bapak.

            Baju kurung yang koyak di bahagian bahu ini – terima kasih bapak kerana tolong jahitkan. Bapak tahukan saya cukup gembira dan bersyukur kerana bapak jadi bapak saya? Bapak tidak perlu jadi yang paling sempurna – cukuplah kalau bapak dapat hidup selamanya. 

Ini,
untuk bapak,
untuk mak (maaf mak tak masukkan mak dalam cerita ini),
untuk motorsikal Honda Cup second-hand,
untuk van Datsun second-hand,
untuk kereta Nissan Sunny second-hand,
dan
untuk dunia.

#empat

why
do
i
even
have
hope
at
the
first
place


Cerpen: Telat


TELAT 

          Shit!

       Dia tersedar dari tidur jam 8 pagi. Kelasnya pagi ini bermula seawal 8.30 pagi. Celaka. Sekali lagi dia menyumpah dalam hati. Tanpa memijak tangga besi, dia terus melompat ke lantai. Dia tinggal di katil atas. Persetan dengan sakit pada tapak kakinya itu.
Buru – buru dia buka baju T, kain batik dan baju dalam. Dibalut tuala pada tubuhnya. Lantas dia capai baldi biru berisi shampoo rambut, sabun badan dan pencuci mukanya yang berada di sebelah pintu sebelum berpatah balik ke meja untuk mengambil berus giginya. Ubat gigi dipicitnya sebesar duit syiling 10 sen pada berus gigi.

       Dia berjalan ke arah pintu, memusing selak kunci ke arah kiri. Ah! Selipar Jepunnya! Sekali lagi dia berpatah balik ke arah rak kasut dan menyambar kasar dan dilempar ke depan pintu yang sedia terbuka itu. Selipar Jepun yang dibelinya di kedai RM2.12 pada tahun lepas itu masih berjasa padanya sehingga semester keduanya ini. Dia sarung selipar itu separuh masuk dan berjalan pantas ke arah bilik mandi yang kurang 10 langkah dari biliknya itu.
Dia bersyukur sekali kerana mendapat lokasi bilik yang dekat dengan bilik mandi dan tandas. Ya, dia tahu juga untuk bersyukur walaupun jumlah menyumpah melebihi jumlahnya mengucap syukur. Dasar manusia lupa diri. Huh!
        
        Burr!

       Sejuk air pancuran hari ni. Sedang dia berfikir – fikir sama ada punya masa untuk membasuh rambut, telah dia lalukan rambutnya pada bawah air pancuran. Dia memberus sekali giginya kurang lebih 30 saat, membasuh rambut dan badan secepat yang boleh. Walaupun dia tidak berapa bersungguh sebenarnya untuk bersiap ke kelas. Tengoklah, sekarang ini pun dia masih mengeringkan rambutnya seperti hari – hari biasa (ya dia tahu dia telah lewat). Selesai mengeringkan rambut (walaupun masih lembab), dia berlalu ke biliknya.

       Kunci pintu di buka dan dia meloloskan dirinya ke dalam. Dia tolak kembali pintu. Kini dia ke pintu almarinya. Menepek krim pemberian kakaknya bulan – bulan sudah ke muka dan menyapu garam kristal (satu – satunya produk anti – bau ketiak yang paling berkesan ini ditemui ketika berusia 23 tahun di Guardian itupun setelah di Google tentang cara – cara untuk menghilangkan bau ketiak) pada ketiaknya yang baru dicukur dua hari lepas.

       Baju T hitam disarung kemudian seluar hitam slacknya pula. Hitam. Ya, dia suka warna hitam. Mudah. Tidak perlu untuk memadankan warna. Geroboknya lebih banyak pakaian yang berwarna hitam dan gelap daripada yang berwarna cerah. Bukan dia tidak cuba mengubahnya. Ada ketika dia rasakan pilihan warna pakaiannya terlalu sugul dan suram, tetapi setiap kali membeli pakaian dia tidak dapat tidak pasti akan membeli pakaian berwarna gelap akhirnya. Ah! Habit ialah sesuatu yang sukar untuk diubah.

       Dia capai sikat dari rak yang melekat pada dinding dan memanjat naik ke atas katil. Dia ingin menyikat rambut di atas tilamnya yang bersampul putih itu. Senang sekali untuk melihat dan mengumpul rambutnya yang sentiasa gugur setiap kali disikat (lebih – lebih lagi selepas mencuci rambut). Selesai menggumpal rambut gugur, dia turun ke bawah semula.

   Segala yang patut dia sumbat ke dalam bagpack EASTPAK yang dibelikan emaknya. Dia buka almari sekali lagi dan mengambil stokin MONKI yang berwarna kuning terang (pemberian kakaknya sekali lagi).

       Dia sarung stoking kuning terang itu di atas kerusi, menyandang bagpack pada bahu kanan dan mengambil kasut ALL STAR (dibeli pada harga diskaun, matilah dia kalau tiada diskaun) sebelum dilempar ke luar pintu. Terkial – kial dia sarung kasutnya sebelum berjaya kerana ikatan talinya talinya terlalu ketat. Sakit juga jari telunjuk kanannya untuk memastikan dia dapat memasukkan kakinya (dia malas benar untuk membuka ikatan tali kasut itu.
       
        Dengan kunci bilik yang disarungkan pada tali lanyard Nando’s, dia kuncikan pintu bilik. Baru sahaja dia menjejakkan kaki pada anak tangga terakhir di dataran depan kolej yang lebih popular dipanggil tanjung oleh semua penghuni kolej tiga, dapat dirasakan getaran daripada telefon pintar yang berada di dalam begnya. Pantas diseluk tangannya ke dalam beg dan membuka aplikasi WhatsApp. Ditekan kumpulan (group) mesej yang dikhaskan untuk subjek pagi itu. Kakinya terhenti melangkah saat membaca mesej daripada pensyarahnya.

Salam. Maaf semua. Kelas pagi ini dibatalkan kerana saya tidak sihat. Sila siapkan tugasan yang telah dimasukkan dalam ruangan Spectrum.

TAMAT.