Memaparkan catatan dengan label sesi 2019/2020. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sesi 2019/2020. Papar semua catatan

Mencari Bilik Sewa Berdekatan UM

Bagaimana saya mencari bilik sewa di Pantai Dalam, Kuala Lumpur apabila tidak mendapat kolej kediaman?

Pertama sekali, saya rancang berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan setiap bulan tanpa perlu kelaparan hanya untuk membayar sewa bilik. Hal ini kerana, bayaran setiap bulan meliputi sewa bilik, bil air, bil elektrik. Kadang-kadang ada bayaran untuk bil penyelenggaraan rumah flat. Bil air, bil elekrik dan bil penyelenggaraan akan dikongsi dengan semua penghuni rumah. Setiap rumah akan ada seorang kepala atau ketua. Individu tersebut bertanggungjawab untuk menerima bayaran sewa dari setiap penghuni rumah dan menyerahkan kepada pemilik rumah. Segala isu yang berkaitan rumah juga akan dibangkitkan kepada ketua tersebut untuk diberitahu kepada pemilik rumah. Senang kata, macam orang tengah. Tetapi kita sendiri nak berhubungan dengan pemilik rumah itu pun boleh.

Seterusnya, perlu dipertimbangkan lokasi rumah sewa tersebut. Lokasi rumah untuk disewa perlulah berdekatan dengan UM, senang mendapat pengangkutan awam, mudah ke kedai membeli barang keperluan dan bukan kawasan sunyi. Penuntut universiti di sini selalunya menjadikan kawasan perumahan di Pantai Dalam terutamanya di Perumahan Pantai Permai, Taman Bukit Angkasa, Apartment Vista Angkasa, Pantai Hillpark Phase 2, Residensi Kerinchi dan Apartment PKNS sebagai pilihan utama untuk menyewa. Kenapa? Kawasan ini sangat mudah untuk mendapat pengangkutan awam. Laluan ini dilalui oleh bas rapidkl 789, bas pink percuma, bas UM  dan bas-bas lain yang saya tak ingat nombornya.

Bas rapidkl 789 bermula di Stesen LRT UNIVERSITI dan melalui UM, Apartment PKNS, Taman Bukit Angkasa, Perumahan Pantai Permai, Pantai Hillpark Phase 2, Nexus Bangsar South dan berhenti di Stesen LRT UNIVERSITI. Kekerapan bas ialah setiap 15 minit. Lebih daripada 15 minit pun ada juga. Klik disini untuk laluan terperinci bas rapidkl T789.

Bas pink percuma bermula di  PPR Seri Pantai. Perumahan ini pun salah satu pilihan pelajar UM untuk menyewa. Cuma bagi saya, kedudukannya agak jauh daripada UM. Peta laluan bas pink ada disini. Nama bas ni lain tapi kami panggil bas pink sebab memang PINK. Dari jauh dah nampak dia datang, Bas pink kalau turunkan penumpang di Stesen LRT UNIVERSITI, selalunya tidak tunggu lama untuk ambil penumpang. Lambat sikit dah kena tinggal. Tapi kekerapan bas pink lagi pendek waktunya. Saya tak risau sangat kalau tertinggal bas. 

Selain bas awam, terdapat juga bas UM. Bas UM ada banyak dan setiap bas ada laluan masing-masing. Salah naik bas, memang tak tiba di rumah. Pada waktu petang bas UM memang penuh, Macam tin sardin, orang kata. Kena tolak, kena potong barisan tak payah ceritalah. Laluan bas UM hampir sama seperti bas rapidkl T789 kecuali bas ini tidak berhenti di Nexus Bangsar South, Stesen LRT UNIVERSITI. Setiap pelajar akan dimaklumkan mengenai sebarang perubahan laluan dan kekerapan bas dalam kumpulan Whatsapp kolej kediaman atau fakulti masing-masing. 

Menunggu bas rapidkl T789 di UM Central.

Kemudian, pilih jenis bilik. Saya tidak minat berkongsi bilik dengan orang lain jadi saya menumpukan pencarian kepada bilik bujang tidak berkongsi. Dalam iklan akan dinyatakan sebegini, "Bilik single non sharing" atau "bilik middle non sharing" atau "bilik master non sharing". Saya sejenis yang balik bilik nak berehat, terbongkang selepas penat seharian tanpa mempedulikan orang lain. Oleh itu, bilik bujang tidak berkongsi menjadi pilihan saya.

Selepas mengambil kira semua faktor diatas, saya mulakan pencarian di laman sesawang mudah, ibilik, dan di Facebook. Saya sampai sekarang pening sebab kadang-kadang ada laman sesawang yang tidak boleh pilih Pantai Dalam. Jadinya saya masukkan Bangsar South atau Pantai dalam carian apabila Pantai Dalam tiada dalam senarai pilihan. Bangsar South ni sebenarnya nama moden untuk Kerinchi. Kerinchi dalam Pantai Dalam. Macam tu? Eh, tapi alamat rumah sewa saya tiada nama Kerinchi pun. Okey, dah pening.

Selepas jumpa iklan bilik sewa yang berkenan di hati, saya mesej individu tersebut. Walaupun ada gambar pada iklan, saya minta gambar-gambar lain. Kita riki dahulu. Bincang elok-elok. Bagi salam, perkenalkan diri, tanya bilik masih kosong atau tak, kalau bilik masih tiada penyewa, makanya saya minta nak tengok bilik yang diiklankan. Selepas melihat keadaan luar rumah sewa tersebut, beri salam sambil ketuk pintu, dan masuk bilik bujang yang diiklankan, bandingkan sama atau tidak seperti dalam gambar. Puas hati melihat keadaan bilik bujang, teruskan tengok dapur, masuk bilik air bersih atau tidak, tengok ruang tamu sedap mata memandang atau tidak. 

Kalau hati berkenan boleh cakap dengan tukang iklan bilik tu, boleh terus bayar dan dapat kunci hari tu jugak. Tidak mahu bayar hari yang sama pun boleh. Kita pulang dahulu untuk berfikir semasak-masaknya dan barulah mesej atau telefon dia untuk beritahu kita mahu sewa bilik itu atau tidak. Sekiranya kita beritahu dia pada hari lain kita setuju, maka boleh tentukan tarikh untuk berjumpa semula. Pada hari ini boleh serahkan bayaran deposit pada dia dan terima kunci. Nak letak barang terus juga boleh. Tapi boleh jadi bilik sewa itu jadi hak milik penyewa baru yang lain kerana apabila sewakan bilik, tukang iklan guna konsep siapa cepat dia dapat. Dalam iklan biasanya ada nyatakan first come first serve. Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali serahkan wang tanpa datang melihat sendiri bilik sewa tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan ditipu. Boleh jadi keadaan bilik atau rumah tersebut tidak seperti yang dijanjikan dan paling teruk, bilik sewa yang diiklankan tidak wujud sama sekali.

Untuk pengetahuan semua, bilik bujang tidak berkongsi memang senang mencari penyewa baru. Kalau kita lambat beri persetujuan, bilik sewa bujang itu akan disewakan kepada orang lain kerana selain penuntut UM, ramai pekerja sekitar Kuala Lumpur memilih kawasan Pantai Dalam untuk menyewa bilik kerana berdekatan dengan laluan bas, laluan LRT Laluan Kelana Jaya, banyak kedai menjual makanan, pasar malam setiap hari Rabu dan Sabtu, pasar pagi hari Ahad, perpustakaan di sebelah Perumahan Pantai Permai dan banyak lagi. Senang kata, nak pergi mana-mana senang dan nak beli apa-apa pun senang. Tinggal rajin tak rajin saja nak keluar rumah.

Baiklah, selepas saya tamat belajar dan nak tamatkan penyewaan bilik, saya sendiri akan mencari penyewa baru bagi menggantikan diri saya. Kenapa? Sebab tiada kontrak dan penyewa-penyewa lain di dalam rumah akan menanggung bayaran sewa yang tinggi untuk cover bayaran sewa bilik yang kosong. Tak masuk akal dan tak adil bukan? Tapi hal ini telah diberitahu sebelum kemasukan saya ke bilik sewa tersebut. Memandangkan saya bersetuju dengan syarat tersebut, maka iklan bilik untuk disewakan saya iklankan dalam laman sesawang yang saya nyatakan sebelum ini. Proses untuk mencari penyewa baru perlukan kesabaran. Insya-Allah dapat penyewa lain dengan mudah. 

Proses mencari penyewa baru untuk bilik sewa pertama saya agak lancar memandangkan pada ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan tiada sebarang sekatan dijalankan. Kali kedua saya mencari penyewa baru untuk bilik tengah, ia memakan masa yang lama. Hal ini memandangkan ada faktor-faktor yang tak dijangka. Waktu tutup sempadan negeri, syarikat banyak tutup dan penuntut universiti belajar dalam talian, memang sukar sekali untuk mencari penyewa baru. Lama saya menunggu akhirnya dapat juga penyewa baru. Itu pun akak bilik master yang tolong uruskan bakal-bakal penyewa untuk tengok rumah dan bilik. Saya cuma menjawab persoalan individu-individu yang berminat untuk menyewa bilik tersebut di Whatsapp sahaja. Ketika itu saya berada di kampung, jadi nak ulang-alik untuk tunggu pencari bilik sewa tengok bilik memang makan masa dan duit. Akak bilik master tersebut telah banyak memudahkan tu urusan saya. Bersyukur sangat.

*Kisah berdasarkan pengalaman saya sekitar tahun 2018 hingga 2022 sebagai pencari bilik sewa dan pencari penyewa bilik baru.

*Boleh cari bilik sewa ataupun rumah sewa melalui Telegram KMUM PRIHATIN: PORTAL RUMAH SEWA.

 

Kisah Di Universiti: Virus Oh Virus! Sekarang Kita Perlu Belajar Semester Ini Secara Atas Talian

Hai!

Universiti sudah mulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian selepas 5 minggu cuti pertengahan semester (dek kerana PKP yang berterusan bagai tiada penghujung). Maka, minggu ke-6 (masih dalam PKP) yang bermula semalam beramai-ramailah kita mengakses ke spectrum. Peperiksaan juga secara atas talian namun tiada peraturan terperinci yang dikeluarkan lagi setakat ini. Jadi, kita tunggu dan lihat sahajalah. Sekarang duduk rumah dan pergi (duduk dalam bilik atau di mana sahaja) kelas atas talian dan siapkan tugasan setiap kelas O_O

Ah! Baru selesai buat satu tugasan akhir (bahagian aku saja ^^") tapi rasa macam dah selesaikan 9 tugasan akhir. Ho! Ho! Ho!

Matahari Tenggelam Hari Pun Malam

Hai.

 

 
Suatu hari di Dataran Pontian. Terlepas sudah pemandangan matahari tenggelam dalam laut. Hanya orang ramai yang berhibur bersama keluarga masing-masing memenuhi dataran. Angin laut dan sejuk malam begitu menyenangkan.

Bersama keluarga kebahagiaan sekecil ini terasa besar.

Semoga semua yang membaca blog ini bahagia di samping keluarga tercinta.


Minggu Tiga

Hai.

Minggu ketiga daripada 14 minggu.

Tiada apa yang menarik kecuali aku teruja dapat balik kampung hari tu.

>.<




Kisah Di Universiti: Adikarya Maya dan Penamatnya

Hai.

Semester 1, Sesi 2019/2020 telah pun berakhir. Ini bermakna Adikarya Maya sudah diberi pemarkahan oleh Dr. Empat bulan lamanya promosi dijalankan agar Adikarya Maya mendapat ramai pengguna Facebook mengetik like dan memberi komen terhadap maklumat-maklumat yang dimuatnaik. Dapat dikatakan disini bahawa Adikarya Maya berjaya mendapatkan sebanyak 499 likes oleh para pengguna Facebook yang budiman. Keputusan peperiksaan bagi subjek Pengantar E-Sastera ini juga tidak menghampakan.

Beberapa komen daripada pengguna FB. 

Adikarya Maya ini diharapkan dapat memberi ilmu baru yang bermanfaat untuk pembaca sekalian. Setakat ini Adikarya Maya tidak akan dipadam supaya dapat memberi idea dan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil subjek Pengantar E-Sastera pada masa hadapan kelak.



Minggu Dua

Hai.

Minggu kedua dari 14 minggu.

Ada kuliah sudah bermula. Ada kelas yang masih belum mula kuliah.

Kumpulan dibentuk untuk tugasan akhir (40 markah).

Ada kelas yang hampir-hampir ditutup. Kelas Jumaat. Hari lauk di kantin sedap dan lain daripada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Kesedihan kelas Jumaat tidak terasa. Makanan sedap.

Gendang-gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.


30 Hari untuk Melupakan Cinta oleh Pingu Toha


SPOILER ALERT
 
TAJUK NOVEL: 30 HARI UNTUK MELUPAKAN CINTA                        

PENULIS: PINGU TOHA

PENERBIT: JEMARI SENI SDN BHD                                                    

HARGA: RM26.00

Anda baru putus cinta? Cinta tidak kesampaian? Apa? Masih belum move on tetapi mahu move on? Ataupun adakah anda peminat kipas-susah-mati Pingu Toha yang sentiasa mengikuti hasil-hasil karya beliau? Atau mungkin juga anda ingin membaca plot selain daripada plot perkahwinan antara dua darjat-projek syarikat 200 juta-minum jus fresh orange ketika lunch-diseksa ibu mertua-berpisah-dan kembali- berpisah-kembali bersama-akhirnya they live happily ever after?

Jika ya ialah jawapan anda kepada semua (atau mungkin tidak) soalan-soalan tersebut, maka saya yakin dan saya pasti novel 30 Hari untuk Melupakan Cinta sangat sesuai untuk bacaan anda. Ya, anda. Anda yang sedang membaca review novel ini. Andalah orangnya.
Walaupun tajuk novel Pingu Toha ini ialah 30 Hari untuk Melupakan Cinta, tetapi tahukah anda berapa lama masa yang diambil oleh Pingu Toha untuk menyiapkan novel ini? Ha, kalau anda ingin tahu, kenalah dapatkan novel 30 Hari untuk Melupakan Cinta. Itupun sekiranya masih ada di pasaran, ya.

Secara ringkasnya, novel ini mengisahkan tentang Eriq (watak utama) yang sudah bertahun masih tidak move on daripada gadis yang disukainya. Gadis itu namanya Manis. Eriq dan Manis bertemu dalam situasi yang manis juga. Jadi mengapa pertemuan yang manis itu tidak diakhiri dengan perhubungan yang manis akhirnya? Takdir Tuhan menentukan segalanya. Hubungan Eriq dan Manis tidak kesampaian (seperti anda juga mungkin?).

Eriq tekad. Sudah bertahun dia masih belum move on. Manis mungkin sudah menemui kebahagiaan yang dicari. Eriq bila lagi? Dan apabila lewat pencarian cara-cara untuk move on di laman sesawang, Eriq menemui sebuah laman sesawang yang membantu seseorang untuk move on. Berjayakah Eriq melupakan Manis? Cukupkah 30 hari untuk Eriq move on? Sudah tentu anda perlu baca novel 30 Hari untuk Melupakan Cinta ini bagi mengetahui pengakhirannya.

Walau bagaimanapun, ingin saya ingatkan novel ini plotnya bergerak perlahan. Tiada adegan-adegan jiwang dan pujuk rayu pasangan kekasih. Novel ini bersikap lebih matang dan rasional dalam mengutarakan permasalahan sekitar seorang manusia yang mahu move on

Sekian.

Terima kasih kerana membaca.

Kisah Di Universiti: Adikarya Maya




https://www.facebook.com/Adikarya-Maya-117867249600583/


Saya dengan rendah hati menjemput pembaca blog ini (ada ke?) untuk mengetik like atau tanda jempol di Facebook pada laman sesawang di atas.

Tujuan laman sesawang Facebook ini dicipta ialah untuk memenuhi keperluan kursus JIX2002 Pengantar E-Sastera sesi 2019/2020.

Semoga segala isi kandungan laman sesawang Facebook Adikarya Maya dapat memberi manfaat kepada para pengunjung.

Segala kerjasama anda amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Adminah.

Pesanan mesra:

Sebenarnya nama laman sesawang FB di atas masih belum mendapat kelulusan pensyarah. Walau bagaimanapun, (haha) saya sangat teruja untuk berkongsi hasil tidak rasmi tugasan ini.
 


Bacaan pilihan hati sepanjang zaman