Cerpen: Telat


TELAT 

          Shit!

       Dia tersedar dari tidur jam 8 pagi. Kelasnya pagi ini bermula seawal 8.30 pagi. Celaka. Sekali lagi dia menyumpah dalam hati. Tanpa memijak tangga besi, dia terus melompat ke lantai. Dia tinggal di katil atas. Persetan dengan sakit pada tapak kakinya itu.
Buru – buru dia buka baju T, kain batik dan baju dalam. Dibalut tuala pada tubuhnya. Lantas dia capai baldi biru berisi shampoo rambut, sabun badan dan pencuci mukanya yang berada di sebelah pintu sebelum berpatah balik ke meja untuk mengambil berus giginya. Ubat gigi dipicitnya sebesar duit syiling 10 sen pada berus gigi.

       Dia berjalan ke arah pintu, memusing selak kunci ke arah kiri. Ah! Selipar Jepunnya! Sekali lagi dia berpatah balik ke arah rak kasut dan menyambar kasar dan dilempar ke depan pintu yang sedia terbuka itu. Selipar Jepun yang dibelinya di kedai RM2.12 pada tahun lepas itu masih berjasa padanya sehingga semester keduanya ini. Dia sarung selipar itu separuh masuk dan berjalan pantas ke arah bilik mandi yang kurang 10 langkah dari biliknya itu.
Dia bersyukur sekali kerana mendapat lokasi bilik yang dekat dengan bilik mandi dan tandas. Ya, dia tahu juga untuk bersyukur walaupun jumlah menyumpah melebihi jumlahnya mengucap syukur. Dasar manusia lupa diri. Huh!
        
        Burr!

       Sejuk air pancuran hari ni. Sedang dia berfikir – fikir sama ada punya masa untuk membasuh rambut, telah dia lalukan rambutnya pada bawah air pancuran. Dia memberus sekali giginya kurang lebih 30 saat, membasuh rambut dan badan secepat yang boleh. Walaupun dia tidak berapa bersungguh sebenarnya untuk bersiap ke kelas. Tengoklah, sekarang ini pun dia masih mengeringkan rambutnya seperti hari – hari biasa (ya dia tahu dia telah lewat). Selesai mengeringkan rambut (walaupun masih lembab), dia berlalu ke biliknya.

       Kunci pintu di buka dan dia meloloskan dirinya ke dalam. Dia tolak kembali pintu. Kini dia ke pintu almarinya. Menepek krim pemberian kakaknya bulan – bulan sudah ke muka dan menyapu garam kristal (satu – satunya produk anti – bau ketiak yang paling berkesan ini ditemui ketika berusia 23 tahun di Guardian itupun setelah di Google tentang cara – cara untuk menghilangkan bau ketiak) pada ketiaknya yang baru dicukur dua hari lepas.

       Baju T hitam disarung kemudian seluar hitam slacknya pula. Hitam. Ya, dia suka warna hitam. Mudah. Tidak perlu untuk memadankan warna. Geroboknya lebih banyak pakaian yang berwarna hitam dan gelap daripada yang berwarna cerah. Bukan dia tidak cuba mengubahnya. Ada ketika dia rasakan pilihan warna pakaiannya terlalu sugul dan suram, tetapi setiap kali membeli pakaian dia tidak dapat tidak pasti akan membeli pakaian berwarna gelap akhirnya. Ah! Habit ialah sesuatu yang sukar untuk diubah.

       Dia capai sikat dari rak yang melekat pada dinding dan memanjat naik ke atas katil. Dia ingin menyikat rambut di atas tilamnya yang bersampul putih itu. Senang sekali untuk melihat dan mengumpul rambutnya yang sentiasa gugur setiap kali disikat (lebih – lebih lagi selepas mencuci rambut). Selesai menggumpal rambut gugur, dia turun ke bawah semula.

   Segala yang patut dia sumbat ke dalam bagpack EASTPAK yang dibelikan emaknya. Dia buka almari sekali lagi dan mengambil stokin MONKI yang berwarna kuning terang (pemberian kakaknya sekali lagi).

       Dia sarung stoking kuning terang itu di atas kerusi, menyandang bagpack pada bahu kanan dan mengambil kasut ALL STAR (dibeli pada harga diskaun, matilah dia kalau tiada diskaun) sebelum dilempar ke luar pintu. Terkial – kial dia sarung kasutnya sebelum berjaya kerana ikatan talinya talinya terlalu ketat. Sakit juga jari telunjuk kanannya untuk memastikan dia dapat memasukkan kakinya (dia malas benar untuk membuka ikatan tali kasut itu.
       
        Dengan kunci bilik yang disarungkan pada tali lanyard Nando’s, dia kuncikan pintu bilik. Baru sahaja dia menjejakkan kaki pada anak tangga terakhir di dataran depan kolej yang lebih popular dipanggil tanjung oleh semua penghuni kolej tiga, dapat dirasakan getaran daripada telefon pintar yang berada di dalam begnya. Pantas diseluk tangannya ke dalam beg dan membuka aplikasi WhatsApp. Ditekan kumpulan (group) mesej yang dikhaskan untuk subjek pagi itu. Kakinya terhenti melangkah saat membaca mesej daripada pensyarahnya.

Salam. Maaf semua. Kelas pagi ini dibatalkan kerana saya tidak sihat. Sila siapkan tugasan yang telah dimasukkan dalam ruangan Spectrum.

TAMAT.

1 ulasan:

nina.is.me berkata...

bahahaahahaha berbakul lagi sumpahan yang keluar dari mulut.