Malu!
Dia malu. Malu sungguh dia rasakan.
Mahu tak malu. Apabila kawan-kawan sekelasnya memakai uniform baju kurung sekolah
yang elok, yang tidak besar gedoboh (maknya selalu beritahu yang uniform baju
kurung, tudung sekolah, kain biru sekolah kena beli saiz besar, kalau boleh dua
atau tiga kali ganda daripada saiz sebenar, nanti boleh dipakai sampai
tingkatan lima dan dia baru di tingkatan tiga sekarang ini) dan baru, dia seorang
saja yang pakai baju lama, dan kini koyak pula uniform baju kurung sekolahnya
itu – di kedua-dua belah bahagian bahu uniform baju kurung putihnya itu.
Alahai, malunya dia rasa! Mana tak malu – warna uniform baju kurung sekolah dan
kain yang digunakan untuk mencantum bahagian yang koyak itu berbeza benar
warnanya. Warna uniform baju kurung sekolahnya sudah agak kekuningan manakala
kain yang digunakan untuk mencantum bahagian yang koyak itu pula berwarna putih
sekali . Kontra sangat bapak! Lagi pula, nyata kelihatan bekas jahitan setelah
dijahit dan ditampal dengan kain putih lain oleh bapak. Tapi, nasiblah bapak
pandai menjahit. Kalau tidak keluar lagilah duit orang tua itu. Mana nak
tanggung dia dan kakak-kakak yang masih belajar lagi. Berapalah sangat wang
pencen yang diterima bapak setiap tanggal 21 haribulan itu.
Itulah.
Pangkat bapak tidak tinggi sebelum
bersara dulu. Pastinya bapak tidak memahat kata-kata keramat pekerja gomen – “Saya yang menurut perintah” –
di hati bapak. Tahukah bapak tidak mengatakan “Saya yang menurut perintah” pada
setiap arahan orang yang duduk nun di atas itu ialah harakiri, kamikaze, dan
aksi bunuh diri untuk pekerja gomen –
ikan bilis seperti bapak? Bapak tahu atau pura-pura tidak tahu? Pernah sekali
bapak tidak menurut perintah orang atasan lantas bapak dibekukan untuk sebarang
kenaikan pangkat bertahun-tahun lamanya. Itulah. Lagilah bapak tidak terima
wang kopi, wang bawah meja, wang dalam sampul – ah! macam-macam lagilah orang
panggil nama enak-enak, wangi-wangi untuk wang haram itu. Kalau benda busuk
disembur minyak wangi manakan tidak wangi. Nah! Sekarang dia kena pakai baju
berjahit di bahu. Oh! Malu sungguh. Tuhan saja tahu betapa malunya dia rasakan.
Dia ada juga cuba-cuba untuk menutup dengan tudung putih sekolah (besar juga,
boleh pakai sampai tingkatan lima kata emak lagi) tapi kelihatan juga
kadang-kadang kalau dia terlupa nak kawal tudungnya daripada bergerak-gerak.
Aduhai! Malu sungguh!
Itulah.
Bapak patut terima saja wang yang
lelaki Cina berbadan besar itu beri dalam sampul surat warna coklat ketika
datang ke rumah di kuarters pekerja kerajaan itu dulu-dulu. Ketika itu bapak
baru ada tiga orang anak sahaja. Bapak patut terima wang itu. Bapak tidak
lihatkah rumah-rumah teman sejawatan dengannya? Atau kereta, motor dan barang
yang dimiliki pegawai-pegawai bawahannya itu? Besar-besar lagi. Lamannya luas,
ruang tamunya luas, pasu bunganya juga besar-besar belaka dan keretanya yang
dua, tiga buah itu – aduh! hebat sungguh, menjalar keretanya itu. Bukan macam
bapak. Motorsikal second-hand, van
second-hand, kereta second-hand –
tidak ada penghawa dingin pula itu. Kalau hari panas, semua dalam van Datsun
itu menjejer keluar peluhnya. Tingkap sudah dibuka seluas-luasnya. Tapi
bahangnya Tuhan saja tahu! Aduh! Kadang-kadang boleh buat semua yang berada
dalam van Datsun itu jadi ikan kering masin saja. Sungguhlah bapak patut terima
saja kalau orang sudah beri duit itu dulu. Sudah pasti van baru atau kereta
baru yang masih berbau kedai itu dapat dibeli dan akan tersadai dengan gahnya
di depan rumah. Tidak perlulah menderita sebegini bapak!
Bapak, bapak!
Ini lihatlah apa jadi sekarang.
Bapak sahaja yang selepas pencen tidak diziarahi teman-teman sekerja, tidak
besarkan dapur, tidak beli rumah banglo, tidak beli kereta baru dan ah! banyak
lagi yang baru yang bapak boleh miliki kalau bapak ambil wang dalam sampul
warna coklat itu dulu. Bukankah ada peribahasa Melayu yang berbunyi seperti ini,
sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kalau bapak terima berkali-kali duit dalam
sampul warna coklat itu pasti bapak sudah senang sekarang. Kalaulah bapak
terima wang dalam sampul surat warna coklat itu. Tapi itulah. Bapak tidak
terima pun sampul surat warna coklat yang berisi wang itu. Kenapa ya, bapak?
Sampul surat warna coklat berisi wang itu tidak cukup menggoda bapakkah?
Itulah.
Sekarang ini sembilan beranak
(anak-anak bapak sudah bertambah lagi empat orang) kena duduk berkongsi dalam
rumah teres tiga bilik. Itupun nasib jugalah kakak-kakak dan abang-abang belajar
luar Johor. Kalau tidak, bayangkan sajalah – semua sudah besar dan
tinggi-tinggi. Mahunya tidak sempit dan sesak rumah itu jadinya. Dan ada
masanya (selalunya) rumah teres yang memuatkan sembilan orang itu meriah sekali
dengan jeritan dan suara kami bertujuh bertekak dan bergaduh. Ada sahaja yang
tidak kena di hati masing-masing. Kenapa agaknya? Kesempitan wang dan
kemiskinan boleh buat jiwa kita kacaukah, bapak?
Bapak!
Lihatlah ini, uniform baju kurung
sekolah di bahu ini koyaklah, bapak! Mana ada yang mahu jadi kawan pada orang
miskin di sekolah orang anak ada-ada ini? Sungguhlah, bapak! Bapak mana tahu. Tapi,
biarlah kisah anaknya ini tidak punya kawan-kawan bapak terus-terusan tidak
tahu. Biarlah. Apa orang peduli. Susah kita mereka mana tahu. Bukan begitu,
bapak? Apa yang ada pada kawan. Bapak yang beri makan minum. Bapak yang ajar
mengaji. Bapak yang beri pakaian. Bapak yang beri bumbung tempat berteduh.
Bapak yang beri tilam tempat berehat. Bapak yang bagi wang saku. Bapak yang
beri tujuh orang anaknya sekolah sampai sekolah menengah, sampai institut,
sampai universiti lagi. Bapak yang hantar pergi balik sekolah – panas terik,
hujan kilat guruh bapak redah. Bapak yang kerja siang malam berpuluh-puluh
tahun untuk keluarga. Bapak yang… ah! banyak lagilah yang bapak buat. Bapak
yang jadi bapak.
Biarlah.
Biarlah bapak tidak tahu betapa
malunya anak ini pakai uniform baju kurung sekolah yang koyak dan bertampal di
bahagian bahu ini. Biarlah. Apalah sangat uniform baju kurung sekolah yang koyak
ini. Bapak sudah lama berkhidmat – untuk kerajaan dan keluarga. Jadi, bapak –
malu saya ini biar saya simpan rapat-rapat – jauh-jauh dalam hati di lubuk hati
paling jauh, malu saya ini biar saya simpan supaya jadi pengajaran, malu saya
ini biar saya simpan jadi kenangan dan malu ini biar saya ingat sampai
bila-bila. Kawan-kawan akan datang dan pergi. Mereka – kawan-kawan – tidak
bangun dan jatuh bersama. Bapak yang merangkak, bangun, jatuh dan bangun semula bersama saya. Berulang-ulang kali.
Jadi, bapak tidak perlu tahu hal-hal kecil, hal-hal remeh ini. Bapak sudah lama
disini untuk kami. Bapak sudah banyak berkorban. Terlalu lama, bapak.
Bapak.
Baju kurung yang koyak di bahagian
bahu ini – terima kasih bapak kerana tolong jahitkan. Bapak tahukan saya cukup
gembira dan bersyukur kerana bapak jadi bapak saya? Bapak tidak perlu jadi yang
paling sempurna – cukuplah kalau bapak dapat hidup selamanya.
Ini,
untuk
bapak,
untuk
mak (maaf mak tak masukkan mak dalam cerita ini),
untuk
motorsikal Honda Cup second-hand,
untuk
van Datsun second-hand,
untuk
kereta Nissan Sunny second-hand,
dan
untuk
dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan