Bagaimana saya mencari bilik sewa di Pantai Dalam, Kuala Lumpur apabila tidak mendapat kolej kediaman?
Pertama sekali, saya rancang berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan setiap bulan tanpa perlu kelaparan hanya untuk membayar sewa bilik. Hal ini kerana, bayaran setiap bulan meliputi sewa bilik, bil air, bil elektrik. Kadang-kadang ada bayaran untuk bil penyelenggaraan rumah flat. Bil air, bil elekrik dan bil penyelenggaraan akan dikongsi dengan semua penghuni rumah. Setiap rumah akan ada seorang kepala atau ketua. Individu tersebut bertanggungjawab untuk menerima bayaran sewa dari setiap penghuni rumah dan menyerahkan kepada pemilik rumah. Segala isu yang berkaitan rumah juga akan dibangkitkan kepada ketua tersebut untuk diberitahu kepada pemilik rumah. Senang kata, macam orang tengah. Tetapi kita sendiri nak berhubungan dengan pemilik rumah itu pun boleh.
Seterusnya, perlu dipertimbangkan lokasi rumah sewa tersebut. Lokasi rumah untuk disewa perlulah berdekatan dengan UM, senang mendapat pengangkutan awam, mudah ke kedai membeli barang keperluan dan bukan kawasan sunyi. Penuntut universiti di sini selalunya menjadikan kawasan perumahan di Pantai Dalam terutamanya di Perumahan Pantai Permai, Taman Bukit Angkasa, Apartment Vista Angkasa, Pantai Hillpark Phase 2, Residensi Kerinchi dan Apartment PKNS sebagai pilihan utama untuk menyewa. Kenapa? Kawasan ini sangat mudah untuk mendapat pengangkutan awam. Laluan ini dilalui oleh bas rapidkl 789, bas pink percuma, bas UM dan bas-bas lain yang saya tak ingat nombornya.
Bas rapidkl 789 bermula di Stesen LRT UNIVERSITI dan melalui UM, Apartment PKNS, Taman Bukit Angkasa, Perumahan Pantai Permai, Pantai Hillpark Phase 2, Nexus Bangsar South dan berhenti di Stesen LRT UNIVERSITI. Kekerapan bas ialah setiap 15 minit. Lebih daripada 15 minit pun ada juga. Klik disini untuk laluan terperinci bas rapidkl T789.
Bas pink percuma bermula di PPR Seri Pantai. Perumahan ini pun salah satu pilihan pelajar UM untuk menyewa. Cuma bagi saya, kedudukannya agak jauh daripada UM. Peta laluan bas pink ada disini. Nama bas ni lain tapi kami panggil bas pink sebab memang PINK. Dari jauh dah nampak dia datang, Bas pink kalau turunkan penumpang di Stesen LRT UNIVERSITI, selalunya tidak tunggu lama untuk ambil penumpang. Lambat sikit dah kena tinggal. Tapi kekerapan bas pink lagi pendek waktunya. Saya tak risau sangat kalau tertinggal bas.
Selain bas awam, terdapat juga bas UM. Bas UM ada banyak dan setiap bas ada laluan masing-masing. Salah naik bas, memang tak tiba di rumah. Pada waktu petang bas UM memang penuh, Macam tin sardin, orang kata. Kena tolak, kena potong barisan tak payah ceritalah. Laluan bas UM hampir sama seperti bas rapidkl T789 kecuali bas ini tidak berhenti di Nexus Bangsar South, Stesen LRT UNIVERSITI. Setiap pelajar akan dimaklumkan mengenai sebarang perubahan laluan dan kekerapan bas dalam kumpulan Whatsapp kolej kediaman atau fakulti masing-masing.
Menunggu bas rapidkl T789 di UM Central. |
Kemudian, pilih jenis bilik. Saya tidak minat berkongsi bilik dengan orang lain jadi saya menumpukan pencarian kepada bilik bujang tidak berkongsi. Dalam iklan akan dinyatakan sebegini, "Bilik single non sharing" atau "bilik middle non sharing" atau "bilik master non sharing". Saya sejenis yang balik bilik nak berehat, terbongkang selepas penat seharian tanpa mempedulikan orang lain. Oleh itu, bilik bujang tidak berkongsi menjadi pilihan saya.
Selepas mengambil kira semua faktor diatas, saya mulakan pencarian di laman sesawang mudah, ibilik, dan di Facebook. Saya sampai sekarang pening sebab kadang-kadang ada laman sesawang yang tidak boleh pilih Pantai Dalam. Jadinya saya masukkan Bangsar South atau Pantai dalam carian apabila Pantai Dalam tiada dalam senarai pilihan. Bangsar South ni sebenarnya nama moden untuk Kerinchi. Kerinchi dalam Pantai Dalam. Macam tu? Eh, tapi alamat rumah sewa saya tiada nama Kerinchi pun. Okey, dah pening.
Selepas jumpa iklan bilik sewa yang berkenan di hati, saya mesej individu tersebut. Walaupun ada gambar pada iklan, saya minta gambar-gambar lain. Kita riki dahulu. Bincang elok-elok. Bagi salam, perkenalkan diri, tanya bilik masih kosong atau tak, kalau bilik masih tiada penyewa, makanya saya minta nak tengok bilik yang diiklankan. Selepas melihat keadaan luar rumah sewa tersebut, beri salam sambil ketuk pintu, dan masuk bilik bujang yang diiklankan, bandingkan sama atau tidak seperti dalam gambar. Puas hati melihat keadaan bilik bujang, teruskan tengok dapur, masuk bilik air bersih atau tidak, tengok ruang tamu sedap mata memandang atau tidak.
Kalau hati berkenan boleh cakap dengan tukang iklan bilik tu, boleh terus bayar dan dapat kunci hari tu jugak. Tidak mahu bayar hari yang sama pun boleh. Kita pulang dahulu untuk berfikir semasak-masaknya dan barulah mesej atau telefon dia untuk beritahu kita mahu sewa bilik itu atau tidak. Sekiranya kita beritahu dia pada hari lain kita setuju, maka boleh tentukan tarikh untuk berjumpa semula. Pada hari ini boleh serahkan bayaran deposit pada dia dan terima kunci. Nak letak barang terus juga boleh. Tapi boleh jadi bilik sewa itu jadi hak milik penyewa baru yang lain kerana apabila sewakan bilik, tukang iklan guna konsep siapa cepat dia dapat. Dalam iklan biasanya ada nyatakan first come first serve. Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali serahkan wang tanpa datang melihat sendiri bilik sewa tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan ditipu. Boleh jadi keadaan bilik atau rumah tersebut tidak seperti yang dijanjikan dan paling teruk, bilik sewa yang diiklankan tidak wujud sama sekali.
Untuk pengetahuan semua, bilik bujang tidak berkongsi memang senang mencari penyewa baru. Kalau kita lambat beri persetujuan, bilik sewa bujang itu akan disewakan kepada orang lain kerana selain penuntut UM, ramai pekerja sekitar Kuala Lumpur memilih kawasan Pantai Dalam untuk menyewa bilik kerana berdekatan dengan laluan bas, laluan LRT Laluan Kelana Jaya, banyak kedai menjual makanan, pasar malam setiap hari Rabu dan Sabtu, pasar pagi hari Ahad, perpustakaan di sebelah Perumahan Pantai Permai dan banyak lagi. Senang kata, nak pergi mana-mana senang dan nak beli apa-apa pun senang. Tinggal rajin tak rajin saja nak keluar rumah.
Baiklah, selepas saya tamat belajar dan nak tamatkan penyewaan bilik, saya sendiri akan mencari penyewa baru bagi menggantikan diri saya. Kenapa? Sebab tiada kontrak dan penyewa-penyewa lain di dalam rumah akan menanggung bayaran sewa yang tinggi untuk cover bayaran sewa bilik yang kosong. Tak masuk akal dan tak adil bukan? Tapi hal ini telah diberitahu sebelum kemasukan saya ke bilik sewa tersebut. Memandangkan saya bersetuju dengan syarat tersebut, maka iklan bilik untuk disewakan saya iklankan dalam laman sesawang yang saya nyatakan sebelum ini. Proses untuk mencari penyewa baru perlukan kesabaran. Insya-Allah dapat penyewa lain dengan mudah.
Proses mencari penyewa baru untuk bilik sewa pertama saya agak lancar memandangkan pada ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan tiada sebarang sekatan dijalankan. Kali kedua saya mencari penyewa baru untuk bilik tengah, ia memakan masa yang lama. Hal ini memandangkan ada faktor-faktor yang tak dijangka. Waktu tutup sempadan negeri, syarikat banyak tutup dan penuntut universiti belajar dalam talian, memang sukar sekali untuk mencari penyewa baru. Lama saya menunggu akhirnya dapat juga penyewa baru. Itu pun akak bilik master yang tolong uruskan bakal-bakal penyewa untuk tengok rumah dan bilik. Saya cuma menjawab persoalan individu-individu yang berminat untuk menyewa bilik tersebut di Whatsapp sahaja. Ketika itu saya berada di kampung, jadi nak ulang-alik untuk tunggu pencari bilik sewa tengok bilik memang makan masa dan duit. Akak bilik master tersebut telah banyak memudahkan tu urusan saya. Bersyukur sangat.
*Kisah berdasarkan pengalaman saya sekitar tahun 2018 hingga 2022 sebagai pencari bilik sewa dan pencari penyewa bilik baru.
*Boleh cari bilik sewa ataupun rumah sewa melalui Telegram KMUM PRIHATIN: PORTAL RUMAH SEWA.
2 ulasan:
Pantai Dalam mmg strategik utk budak UM..lokasi dekat, kedai byk...tapi kalau ada kereta mmg sakit kepala, parking limited..
Akak rumah sewa saya pun kalau lambat sampai rumah dari pejabat memang kena parking jauh dia kata.
Catat Ulasan